Selasa, 10 November 2015

Enam banduan terlepas hukuman mati

Keputusan meringankan hukuman itu dibuat selepas Lembaga Pengampunan Negeri Kelantan meneliti kes yang dilakukan oleh banduan terbabit
KOTA BAHARU: Enam banduan terlepas daripada menerima hukuman mati manakala seorang lagi dibebaskan awal selepas Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan meringankan hukuman ke atas mereka.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Faudzi Che Mamat berkata, Sultan kelantan berkenaan untuk meringankan hukuman ke atas banduan terbabit sempena Hari Keputeraan baginda ke-46 esok.

“Seorang banduan dibebaskan awal manakala empat banduan diringankan hukuman mati kepada penjara seumur hidup.

“Dua lagi banduan diringankan hukuman mati kepada penjara sepanjang hayat,” katanya pada sidang media di Istana Balai Besar di sini, pada Selasa.

Beliau berkata, Lembaga Pengampunan Negeri Kelantan telah meneliti 37 kes rujukan dan mempertimbangkan semua aspek kesalahan, tempoh hukuman yang dijalani dan usaha pemulihan yang telah dilalui banduan terbabit.

Katanya, kesemua tujuh banduan yang diringankan daripada hukuman penjara itu membabitkan kes dadah.

“Banduan yang diberi pengampunan pembebasan awal pula diharap dapat menggunakan peluang kedua itu untuk memanfaatkan diri, keluarga dan masyarakat,” katanya.

– Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan