Rabu, 24 Ogos 2016

120 kilogram emas untuk kelambu Kaabah

MAKKAH, Selasa – Waktu sejurus selepas Subuh setiap 9 Zulhijah merupakan saat-saat yang dinanti-nantikan oleh umat Islam, terutama di kota penuh sejarah ini untuk menyaksikan upacara menukar Kiswah atau kelambu Kaabah baharu.

Menurut catatan sejarah upacara pemasangan Kiswah telah berlaku sejak sebelum kelahiran junjungan mulia Nabi Muhammad SAW lagi.

Namun, ramai yang tidak mengetahui bagaimana Kiswah dihasilkan.

Petugas media Lembaga Tabung Haji (TH) yang berkesempatan melawat Kilang Kiswah Kaabah yang dibina pada 1977 oleh Bapa Pembangunan Arab Saudi, Al Malek Abdul Aziz bin Abdul Rahman, dimaklumkan pekerja memerlukan masa hingga enam bulan untuk menyiapkan sebuah Kiswah.

Jelas sekali, keindahan dan kehalusan seni sulaman Kiswah dengan ayat-ayat suci al-Quran tiada tandingan.

Ia dihasilkan dengan menggunakan benang emas dan perak menerusi sentuhan kira-kira hampir 100 penyulam pakar.

Pengurus Besar kilang berkenaan, Muhammad Abdullah Bajawda dalam taklimatnya memaklumkan bagi menghasilkan sulaman berkenaan, pihaknya menggunakan emas seberat 120 kilogram dan 120 kilogram perak yang disadur pada benang khas yang kesemuanya diimport dari Jerman.

“Seberat 670 kilogram benang sutera yang diimport dari Itali pula digunakan dalam menghasilkan pemidang Kiswah ini,” katanya menerusi penterjemah.

Muhammad berkata, tinggi Kiswah yang dihasilkan adalah lebih kurang 14 meter, ukuran lebar kain Kiswah daripada bahagian dua rukun (sudut) ialah 10.78 meter, ukuran lebar daripada bahagian Multazam ialah 12.50 meter.

“Manakala ukuran lebar kain Kiswah daripada bahagian Hajar Aswad ialah 10.50 meter manakala ukuran lebar kain Kiswah daripada bahagian Bab Ibrahim ialah 13 meter,” katanya.

Penghasilan setiap Kiswah membabitkan kos kira-kira RM24 juta.

Beliau berkata, proses penghasilan Kiswah bermula ketika mencelup warna dan dimasukkan ke dalam makmal bagi proses penegangan benang, daya tahan dan pergeseran benang-benang sutera bagi memastikan ia mengikut spesifikasi.

“Kemudian mesin berteknologi tinggi digunakan untuk menghasilkan pemidang kain Kiswah.

“Setelah siap, kain berkenaan akan dicop ayat-ayat al-Quran dengan menggunakan ‘silk screen’ dengan dakwat warna putih dan kuning termasuk lambang-lambang dan syiar yang berlainan ukuran,” katanya.

Proses berikutnya paling penting, iaitu menyulam benang emas dan perak pada huruf-huruf yang sudah dibentuk.

Seterusnya petugas akan menjahit kepingan-kepingan kain untuk dijadikan Kiswah lengkap.

Kiswah yang telah siap dengan sempurna akan diserahkan kepada pihak pengurusan Masjidil Haram kira-kira sembilan hari sebelum dipasang menggantikan yang lama pada binaan Kaabah. 

Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan